KIULU SEBAGAI PUSAT EKONOMI BARU


KIULU: Kiulu yang terletak 60 kilometer dari Kota Kinabalu merupakan pusat ekopelancongan luar bandar yang terkenal, terutama untuk produk pelancongan aktiviti lasak iaitu berakit jeram yang telah menjadi sumber ekonomi penduduk setempat.

Namun bagi Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Kiulu mempunyai potensi yang lebih luas untuk dijadikan pusat ekonomi baru.

“Industri pelancongan memang terkenal di Kiulu tapi kita mahu ada rangkaian di mana kita membudayakan sektor pembuatan dengan menghasilkan pelbagai produk yang berkaitan dengan pelancongan. Kita ingin memperluaskan lagi rangkaian ini bagi menjana pendapatan penduduk di Kiulu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Perjumpaan Perdana bersama calon UPKO N. 15 Kiulu, di Pekan Kiulu, di sini, pada hari Khamis.

Dalam perkembangan yang sama, Madius turut berkongsi salah satu usaha dalam memastikan pembangunan menyeluruh di Kiulu terlaksana melalui pelan strategik pembangunan yang telah siap dikaji dengan kerjasama pihak Institute for Development Studies (IDS) Sabah.

“Kita akan menyusun semula sistem penyampaian yang lebih mampam di mana pegawai di bawah seliaan Pejabat Daerah Kecil Kiulu akan lebih fokus dan memahami fungsi mereka bukan sahaja hal berkaitan infrastruktur malahan dari sudut ekonomi mikro juga,” katanya.

Pejabat Daerah Kecil Kiulu ini telah diluluskan oleh Kabinet Negeri pada Julai lepas dan sekarang di peringkat pelaksanaan.

Menurut Madius yang juga calon Ahli Undangan Negeri (ADUN) N.15 Kiulu, isu menjana ekonomi setempat melalui inisiatif ekonomi mikro harus diberi tumpuan, terutama disaat rakyat berada di dalam kesempitan dimana hasil mata pencarian terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

“Rakyat berada di dalam kesulitan dan ini perkara serius yang kita harus selesaikan. Sebab itu dari segi ekonomi di peringkat  kampung, ekonomi Mikro perlu kita perkasakan,” katanya.

Ahli Parlimen P170 Tuaran itu turut melihat kepentingan rumah untuk penduduk Kiulu.

“Saya telah membuat tinjauan ke kampung-kampung di kawasan Kiulu ini, jika dahulu ia tidak penting tetapi sebenarnya rumah merupakan kemudahan asas buat rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata momentum yang positif dan utuh dapat dilihat didalam gabungan padu Warisan Plus.

“Pasukan ini sudah mantap. Saya nampak bukan lagi gear lima tetapi sampai tahap maksimum. Kita juga yakin dengan penerimaan rakyat Sabah dengan Warisan Plus dan semangat rakyat Sabah untuk bangkit…momentum itu sudah tersebar luas dari kawasan bandar hingga ke luar bandar,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *