KES WANITA DITEMUI MAUT DI BANDARAN BERJAYA DIKLASIFIKASIKAN SEBAGAI KES BUNUH


KOTA KINABALU: Kes penemuan mayat wanita di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan Bandaran Berjaya, di sini, Selasa lalu, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Seorang lelaki berusia 30 tahun yang mempunyai 13 kes membabitkan pelbagai kes jenayah sejak lapan tahun lalu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asistem Komisioner Habibi Majinji berkata, setakat ini, wanita terbabit dikenali dengan nama Kelly dan dipercayai berusia lingkungan 30-an.

Katanya, wanita terbabit juga dipercayai warganegara asing namun siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti identiti sebenar mangsa.

“Hasil siasatan, wanita terbabit sering dilihat berkeliaran bersama suspek sambil menghidu gam. Bagaimanapun ada saksi yang mendakwa terdengar mangsa bertengkar dengan seseorang sebelum ditemui mati selepas itu.

“Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan pada jam 7.30 malam Jumaat lalu di Jalan Maktab Gaya, di sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, soal siasat awal suspek mengaku mengenali mangsa sejak enam bulan lalu dan ada menumbuk mangsa beberapa kali semasa bertengkar di atas bukit tempat tinggal mangsa.

Katanya, motif kejadian dipercayai disebabkan suspek cemburu terhadap mangsa selepas dilihat berjalan dengan lelaki lain sebelum kejadian berlaku.

“Berhubung punca kematian mangsa pula adalah kecederaan pada kepala dan muka disebabkan senjata tumpul dan pukulan yang kuat.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya,

Dalam kejadian selasa lalu, mayat wanita ditemui orang awam kira-kira jam 7 malam sebelum terus melaporkan kepada pihak polis.

Pemeriksaan awal mayat mangsa mendapati tiada tanda suntikan BCG selain terdapat kesan lebam di kedua belah mata, mulut, dagu dan kedua-dua lengan. – ASIA TIMES





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *