KES PECAH MASUK SELESAI KURANG 4 JAM


KOTA KINABALU: Empat jam. Itu tempoh diperlukan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk menumpaskan dua penjenayah yang memecah masuk sebuah bilik sewa di Likas, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 27 dan 28 tahun yang melarikan pelbagai barangan bernilai anggaran RM4,200 itu berjaya ditahan di sebuah hotel bajet di Kampung Air, di sini, selepas siasatan berjaya mengenal pasti lokasi mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis menerima laporan kejadian berkenaan pada jam 7.28 pagi daripada mangsa.

Katanya, hasil siasatan menerusi kamera litar tertutup berjaya mengesan kelibat dua-dua suspek memasuki bilik sewa mangsa.

“Kedua-dua suspek dilihat memasuki bilik sewa mangsa sebelum melarikan telefon bimbit, wang tunai dan dokumen penting.

“Berdasarkan rakaman litar tertutup berkenaan, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu membuat penelitian dan membawa kepada penahanan suspek dalam tempoh kurang 4 jam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang positif menggunakan dadah terlarang jenis metafetamin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan / Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *