Kes maut Covid-19 sangat rendah bagi penerima dos penggalak, kata kementerian –


PETALING JAYA: Data menunjukkan kadar kematian kes Covid-19 direkodkan terendah berlaku dalam kumpulan penerima dos penggalak, berbanding kumpulan tidak mengambil dos itu, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Sambil menggalakkan orang ramai mendapatkan dos itu, KKM berkata kadar kematian disebabkan pandemik dalam kumpulan tidak menerima vaksin, berada pada tahap 1.43%.

Selain itu, kes kematian bagi kumpulan penerima vaksin lengkap pada kadar 0.54%, disusuli kumpulan penerima dos penggalak pertama (0.13%) dan penerima dos penggalak kedua (0.1%).

“Kadar kes kematian kes tertinggi dalam kumpulan yang tidak divaksinasi. Faktor risiko utama kematian ialah umur, jantina dan mempunyai penyakit komorbiditi.

“Dapatkan vaksinasi termasuk dos penggalak pertama dan kedua bagi mendapatkan perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19,” katanya di Twitter sambil menyatakan data itu diambil bermula 1 Julai hingga 31 Dis lalu.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menggesa orang ramai mendapatkan dos penggalak kedua susulan peningkatan Covid-19 di China, selain pembukaan semula sempadannya.

Beliau berkata, mereka yang menerima dos penggalak pertama melebihi enam bulan lalu digalakkan mendapatkan dos penggalak kedua, berbanding menunggu vaksin bivalen, yang menyasarkan sub-varian Omicron BA.4 dan BA.5 sebagai tambahan kepada strain asal Covid-19.

Katanya, kira-kira 49.8% sahaja rakyat Malaysia menerima dos penggalak pertama, manakala 1.9% sahaja penerima dos penggalak kedua.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *