KERANA DIRAGUT, WANITA LABUAN “TERKANDAS” 20 TAHUN DI SIBU


SIBU:
Kehilangan kad pengenalan diri dan ketiadaan wang selepas diragut ketika
berkunjung ke sini  menyebabkan seorang wanita, Salmah Adik, yang kini
berusia 70 tahun, “terkandas” di sini selama lebih 20 tahun.

Bagaimanapun,
usaha Hospital Sibu dan Jabatan Penerangan Sarawak mengesan warisnya selepas
warga emas itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada 8 Jan lalu, “menemukan”
wanita tersebut dengan kaum keluarganya di Labuan.

“Kami
kini sedang mencari jalan untuk membawa dia pulang kerana satu-satunya pintu
masuk ke Sarawak hanya melalui Kuching dengan penerbangan dari Kota Kinabalu,”
kata anak saudaranya Zamain Ma’in, ketika dihubungi di sini. 

Untuk
rekod, Sibu merupakan  zon merah COVID-19, sementara Labuan pula dikenakan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Menurut
Zamain, Salmah merupakan adik ayahnya.

Maklumat
mengenai Salmah yang dinyatakan sebagai berasal dari Batu Arang, Labuan tular
selepas dimuat naik menerusi Facebook Jabatan Penerangan Sarawak.

“Saya
turut membantu menularkan maklumat itu memandangkan beliau orang Labuan. Saya
tidak sangka beliau adalah ibu saudara saya dan hanya mengetahuinya apabila
salah seorang saudara saya memberitahu perkara itu kepada saya,” kata Zamain.

Menurut
Zamain, arwah ayahnya  tidak pernah bercerita mengenai adik
beradiknya namun sebelum meninggal dunia beberapa tahun lalu arwah sempat
berpesan kepadanya agar mencari kesemua mereka.

Susulan
itu katanya dia berjaya menjejaki tiga bapa saudaranya iaitu Mohd Yunus yang
menetap di Kudat serta Yusuf dan Jaafar yang tinggal di Bukit Kalam, Labuan,
namun gagal mengesan Salmah.

“Bukan
kami tidak cari selama ini tapi gagal. Ada yang kata dia di Miri, ada yang kata
di Kuala Lumpur. Terima kasih kepada Jabatan Penerangan Sarawak dan netizen yang
telah menularkan maklumat tersebut,” katanya dalam nada sebak.

“Saya
rasa bukan 20 tahun kami tidak berjumpa dia. Mungkin lebih. Ketika saya masih
kecil dia mungkin pernah melihat saya dan anaknya sendiri Noridah Saman
sekarang pun sudah berusia 47 tahun,” kata Zamain yang turut gembira kerana
berjaya menunaikan hasrat arwah bapanya.

Menurutnya
dia juga dapat bercakap dengan ibu saudaranya yang memberitahu dia dilayan
dengan baik di Hospital Sibu.

“Kami
kini kesuntukan masa kerana mak cik akan dibenarkan keluar hospital beberapa
hari lagi. Jika itu berlaku, kami akan menemui kesukaran untuk mencarinya
semula kerana dia tidak mempunyai telefon dan kami juga tidak tahu di mana dia
tinggal.

“Saya
merayu kepada kerajaan negeri Sarawak mahupun pertubuhan bukan kerajaan di Sibu
menempatkan ibu saudaranya di kemudahan tertentu buat sementara waktu agar
mudah untuk kami mengambilnya balik selepas urusan dokumentasi dan perkara lain
selesai,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *