KERAJAAN SABAH SERAH BANTUAN, NAMUN TIDAK DIBENARKAN MEMASUKI SEKOLAH


KOTA KINABALU: Dipercayai akibat campur tangan politik, bantuan Kerajaan Sabah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin di Penampang terpaksa diserahkan di pejabat Kementerian Pelajaran dan Inovasi (KPI) selepas kementerian itu dilarang memasuki sekolah berkenaan.

Bantuan berkenaan disumbangkan Kerajaan Sabah selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melawat sekolah berkenaan pada 29 Jun lalu.

Dalam lawatan itu, pihak sekolah mengadu asrama sekolah itu memerlukan bekalan kira-kira 100 katil dan tilam demi kemudahan pelajar-pelajarnya dan Shafie berjanji akan menyediakan keperluan berkenaan.

Seperti yang dijanjikan, bantuan itu telah dihulurkan namun pihak sekolah dikatakan terpaksa menghantar wakil ke pejabat KPI dengan dan ianya disampaikan sendiri oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi.

Laporan sebuah portal tempatan mengatakan Dr Yusof serta kakitangan kementeriannya dilarang masuk ke sekolah berkenaan untuk menyampaikan bantuan, kononnya atas arahan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Aziz Jamman ketika perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini, telah mempersoalkan perkara berkenaan dan turut menunjukkan surat daripada Kerajaan Sabah yang telah meluluskan bantuan kepada sekolah itu.

“Terkini Kementerian Pelajaran dan Inovasi yang ingin menghantar bantuan berbentuk keperluan katil dan lain-lain keperluan untuk pelakar SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang kerana sekolah ini telah terjejas teruk ketika banjir melanda daerah Penampang baru-baru ini dan telah mengakibatkan kelengkapan seperti tilam dan katil di asrama pelajar rosak.

“Malangnya pihak sekolah tidak dapat menerima masuk menteri dan kakitangan Kementerian Pelajaran dan Inovasi ke sekolah ini difahamkan kerana atas arahan kementerian,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa perkara sedemikian perlu berlaku sedangkan niat Kerajaan Sabah adalah untuk membantu sekolah lebih-lebih lagi Kerajaan Persekutuan tidak dapat menghantar bantuan dengan segera ke sekolah itu.

“Jadi sebab itulah kita minta agar kementerian untuk menjelaskan tentang perkara ini niat dan nawaitu kerajaan negeri untuk membantu mereka ini kerana terjejas disebabkan oleh isu banjir tetapi disebabkan ada arahan-arahan tertentu menyebabkan mereka ini tidak dibenarkan masuk.

“Kalau kementerian boleh menghantar bantuan sesegera yang mungkin, mungkin kerajaan negeri tidak perlu bantu, tetapi disebabkan oleh keterdesakan, maka kerajaan negeri berbesar hati untuk menghantar bantuan ini tetapi malangnya ada arahan pihak kementerian yang tidak membenarkan kakitangan negeri Sabah untuk masuk ke tempat ini,” katanya.

Dalam perbahasan itu, Mohd Azis turut membangkitkan tinadakan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang membatalkan jemputan terhadap Ketua Menteri pada saat akhir untuk merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah 2020.

Katanya, insiden itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Ketua Menteri tidak pernah berkira tentang fahaman politik ketika menghulurkan bantuan khususnya semasa negara berdepan dengan Covid-19.

“Kerajaan negeri Sabah telah membuktikan bahawa perbezaan politik tidak menjadi penghalang kepada usaha kerajaan untuk memastikan rakyat dapat dibantu, malah kerajaan negeri telah berbesar hati membantu sebanyak RM1 juta kepada setiap agensi Kerajaan Persekutuan.

“Untuk rekod, sejumlah RM5.1 juta telah disumbangkan oleh kerajaan negeri untuk Jabatan Pendidikan manakala sumbangan kepada IPTA dan IPTS adalah sebanyak RM5.8 juta,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *