KERAJAAN SABAH PANTAU WABAK BAHARU BUBONIK


SANDAKAN: Kerajaan Sabah sedang memantau perkembangan wabak baharu bubonik yang dilaporkan dikesan di utara China.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung ketika mengulas mengenainya berkata, kesihatan rakyat adalah keutamaan kerajaan, namun kerajaan tidak boleh terus menutup pintu masuk ke negeri ini kerana dibimbangi menjejaskan lebih banyak sektor ekonomi.

Katanya, persediaan perlu dibuat susulan langkah kerajaan negeri mensasarkan untuk membuka semula pintu masuk kepada pelancong antarabangsa dijangka bermula September, selain membenarkan kemasukan pekerja warga asing dari China.

“Saya sudah minta pengarah (Jabatan Kesihatan Negeri Sabah) untuk tengok perkembangan, adakah wabak ini membimbangkan dan apa persediaan perlu kita buat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penyaluran Bantuan Covid-19 kepada Ibu Tunggal.

Poon turut menegaskan setiap rakyat asing dari luar negara yang masuk ke negeri ini harus menjalani saringan kesihatan yang ketat.

Beliau berkata, biarpun sudah menjalani ujian di negara mereka, saringan kesihatan tetap dilaksanakan di negeri ini kerana kerajaan tidak boleh bergantung 100 peratus terhadap keputusan ujian dari negara lain.

“Kalau ujian mereka ‘okay’, tapi ada simptom lain, kita akan buat ujian juga. Kita juga tegaskan biarpun mereka sudah buat ujian Covid-19 (sebelum masuk ke Sabah), kita akan lihat jika saringan mereka ini diiktiraf,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terbaharu kes polio, Poon berkata, jumlah kes terbaharu adalah empat kes seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Katanya, susulan perkembangan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan meneruskan pemberian vaksin polio kepada murid di bawah 13 tahun apabila sesi persekolahan bermula sepenuhnya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *