Kerajaan rangka kemudahan perbankan di Sarawak


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensi Bank Rakyat di Sarawak sedang merangka kemudahan perbankan di negeri itu termasuk kawasan Sungai Asap dan Belaga.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (pix) berkata kemudahan perbankan itu meliputi perkhidmatan bank bergerak dan pelantikan ejen bank.

“Perkhidmatan yang disediakan bank bergerak ini meliputi pembukaan akaun transaksi untuk akaun simpanan Tabung Haji, pendaftaran perbankan internet, bayaran bil setempat, perkhidmatan kiriman wang, Ar Rahnu on wheel dan bayaran balik pembiayaan.

“Dengan adanya saluran ini penduduk setempat memperoleh akses perkhidmatan kewangan dengan lebih mudah. Pada masa sama Bank Rakyat akan melaksanakan pendigitalan hingga akhir 2021 nanti untuk memberi perkhidmatan yang lebih ke hadapan, efisien dan baik lagi kepada rakyat keseluruhannya,“ katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) yang mahu tahu sekiranya kementerian itu bercadang menetapkan kemudahan bank seperti BSN dan Bank Rakyat di Sungai Asap dan Belaga.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberitahu, sebanyak RM240,000 telah diperuntukkan untuk menaik taraf dan membaiki lapan bangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kawasan Parlimen Sipitang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yamani Hafez Musa (Bersatu-Sipitang) berhubung langkah dan usaha diambil untuk membaik pulih bangunan Kemas daerah Sipitang yang berkeadaan daif. –Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *