Kerajaan cakna masalah dihadapi pihak industri dan peniaga kecil


KULIM: Kerajaan sentiasa cakna terhadap permasalahan yang dihadapi industri dan peniaga kecil semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam usaha membantu meringankan beban mereka untuk meneruskan operasi perniagaan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (pix) berkata beliau sendiri turun padang ke peringkat akar umbi mendekati golongan itu dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklum balas tentang cabaran dihadapi mereka dalam mengendalikan perniagaan ketika tempoh PKPP agar dapat dipertimbangkan kerajaan untuk bersama-sama merancakkan dan memulihkan ekonomi negara.

“Saya kira dialog seperti ini penting untuk kita merencanakan dan menggubal insentif dan inisiaitif baharu,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara peringkat negeri Kedah, di Padang Serai, dekat sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata segala maklum balas mengenai permasalahan yang diterimanya sepanjang program dialog yang diadakan antaranya di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu telah dimaklumkan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz “Kita akan bincangkan di Kuala Lumpur minggu depan.

Saya percaya kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa prihatin terhadap usaha ini dan InsyaAllah kita akan bersama-sama dalam membangunkan negara,“ katanya.

Menurutnya, antara cabaran utama yang dihadapi golongan tersebut adalah masalah kekangan aliran tunai hingga menjejaskan aktiviti syarikat dan kebimbangan tidak dapat meneruskan operasi sekiranya PKPP diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) terlalu ketat yang sekali gus menyebabkan pembuangan pekerja.

“Kita tidak mahu majikan ataupun mana-mana syarikat memberhentikan pekerjaan mana-mana pihak sebab itu kita cuba menyediakan subsidi upah bagi meringankan beban syarikat dalam keadaan aliran tunai terbatas.

“Kita juga mendapat maklum balas tentang SOP yang perlu diseragamkan, kerana ketidakseragaman SOP ini kadang-kadang menimbulkan banyak reaksi dan masalah di peringkat akar umbi,“ katanya.

Mohamed Azmin berkata kerajaan sememangnya berusaha sedaya upaya untuk membantu golongan itu meneruskan perniagaan mereka selain meneliti sebaik mungkin setiap masalah berkenaan. –Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *