KENYATAAN MP PASIR SALAK MALAYSIA TANAH MELAYU TIDAK BERFAKTA


KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung negara Malaysia sebagai Tanah Melayu pada Isnin lalu adalah tidak bertepatan dari segi fakta sejarah.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, fakta menunjukkan nama negara ini ialah Malaysia yang dibentuk pada 1963.

“Pada ketika itu ia dibentuk oleh empat wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Tanah Melayu Sabah, Wilayah Sabah, Wilayah Sarawak dan Wilayah Singapura.

“Secara geografinya, Persekutuan Tanah Melayu menpunyai keluasan 132,265 kilometer persegi.

“Keluasan tanah Sabah 73,631 kilometer persegi, dan Sarawak 124,450 kilometer persegi menjadikan jumlah keseluruhan jika dicampurkan adalah 198,081 kilometer persegi iaitu 60 peratus daripada seluruh tanah Malaysia,” katanya.

Madius berkata demikian dalam sidang media di Sidang Parlimen Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya, Semenanjung Malaysia hanya 40 peratus sekali gus jika diikutkan Sabah dan Sarawak ini sebenarnya Tanah Besar Malaysia.

“Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak tentang negara Malaysia ini sebagai Tanah Melayu kerana saya ingat pemikiran beliau masih lagi berfikir tentang Persekutuan Tanah Melayu dan bukan Malaysia.

“Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, saya menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan beliau itu kerana ia mengelirukan, secara fakta tidak betul, secara sejarah tidak betul dan sangat berbahaya untuk kita membina negara bangsa Malaysia yang bersatu padu,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah itu.

Pada Isnin lalu, Tajuddin ketika membahaskan titah Diraja berkata; “Kita kena menerima hakikat bahawa negara ini adalah Tanah Melayu, Tanah Melayu.

“Mungkin ada yang tidak mahu menerima bahawa ini, negara ini Tanah Melayu asalnya. Ini perlu.

“Suka tidak suka, rakyat Malaysia ataupun orang yang datang daripada luar berada di dalam negara kita ini kena terima bahawa ini adalah Tanah Melayu dan Melayu merupakan rakyat, penduduk asal negara kita ini,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *