KEMELUT TANAH PEKEBUN KECIL BAGAHAK SELESAI


SANDAKAN: Kemelut tanah yang dihadapi kira-kira 2,000 pekebun kecil di Ladang Bagahak, di Lahad Datu sejak 12 tahun lalu selesai apabila tanah mereka dikembalikan.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memberitahu tanah membabitkan keluasan 6,800 hektar itu dituntut daripada Sawit Kinabalu dan tidak diselesaikan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kerajaan hari ini prihatin dan serius untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan termasuk pemberian tanah kepada masyarakat luar bandar.

“Saya ingat pekebun kecil yang terbabit ini sejak 1996 sebenarnya tapi penduduk di situ sudah ada di sana dari tahun 60-an, 70-an yang mana kerjasama itu, penduduk kampung minta dibangunkan.

“Jadi, Sawit Kinabalu bantu bangunkan ladang, tapi oleh kerana tuntutan mereka nak kan tanah ini. Kita telah selesaikan dalam bulan lalu dan putuskan supaya perkara ini, jangan hanya dibicarakan di mahkamah sampai berpuluh tahun yang masalah tidak selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan minyak masak GOLD yang dihasilkan secara usahasama antara Kumpulan Sawit Kinabalu dengan syarikat Intipati Minyak Sdn Bhd.

Mohd Shafie berkata, Sawit Kinabalu juga diberi pampasan menerusi 18,000 hektar tanah sedia ada dan perlu dibangunkan menerusi tanaman padi, kelapa selain produk hiliran.

Mengenai minyak masak itu, Mohd Shafie berkata, ia kilang kedua diwujudkan di Sabah selepas minyak masak BESS yang dikeluarkan Benta Wawasan, iaitu anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah.

Katanya, inisiatif pengeluaran minyak masak itu adalah bertepatan dengan rencana pembangunan perindustrian Sabah dalam usaha mewujudkan sektor pembuatan.

“Saya percaya dengan kehadiran minyak masak GOLD, keluaran salah satu lagi syarikat milik kerajaan negeri sebagai rakan kongsi, Intipati Sawit Kinabalu ini akan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan seterusnya menjana pelbagai faedah demi kemakmuran rakyat,” katanya.

GOLD dikeluarkan menerusi pakej botol berzais satu liter berharga RM3.70 dan botol 1.5 liter berharga RM4.90.

Kilang berkenaan ketika ini mampu mengeluarkan 40,000 kilogram dengan sasaran sekurang0kurangnya 10,000 kilogram sebulan.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *