Keadaan di Sabah terkawal, kata Anwar –


PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata keadaan di Sabah masih terkawal buat masa ini, selepas Barisan Nasional (BN) Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Katanya, beliau difahamkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sudah menghubungi Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin bagi menyelesaikan kemelut di negeri itu.

“Saya dah cakap dengan Hajiji dan saya juga difahamkan Zahid telah bercakap dengan Bung dan keadaan terkawal untuk seketika,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR.

Anwar memberi jaminan akan memberi tumpuan khas terhadap situasi Sabah selepas pulang daripada lawatannya ke Jakarta, Indonesia.

Semalam, Bung mengumumkan Umno dan BN Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.

Bung berkata, Hajiji juga tidak mempunyai “locus standi” untuk terus kekal sebagai ketua menteri susulan tindakannya keluar daripada Bersatu, baru-baru ini.

Sementara itu, Anwar berkata akan memastikan pengurusan kerajaan negeri di Sabah tidak terjejas walaupun berdepan dengan kemelut di negeri itu.

Katanya, keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan penjanaan pertumbuhan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat.

Sementara itu, Anwar berkata untuk PH kerjasama dengan BN pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada tahun ini belum dibincangkan lagi.

Katanya, beliau setakat ini juga tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang dijadualkan bermula 11 hingga 14 Jan ini.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *