KANAK-KANAK BERUMUR 2 TAHUN MAUT DIHANYUTKAN ARUS DERAS DI LAHAD DATU


LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak berusia 2 tahun maut selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras di Sungai Bangingod, Tungku, di sini, kelmarin.

Walau bagaimanapun kakak mangsa berumur 4
tahun berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga mangsa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten
Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu
berlaku apabila mangsa dikatakan pergi ke sungai bersama kakaknya tanpa
disedari nenek mereka yang  sedang
memetik cili di belakang rumah.

“Siasatan awal mendapati, sebaik terdengar
jeritan cucunya, nenek mangsa berusia 49 tahun bersama seorang lagi anak
perempuannya terus bergegas ke tepi sungai berkenaan.

“Mereka kemudiannya berjaya menarik kakak mangsa namun
gagal menyelamatkan mangsa yang dihanyutkan arus deras,” katanya dalam
kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat
kejadian terus mendapatkan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, Lahad
Datu, untuk membantu operasi mencari mangsa.

“Selain itu, operasi mencari dan menyelamat
turut dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela Felda Gugusan Sahabat
bersama penduduk sekitar,” jelas Rohan.

Beliau memberitahu mangsa akhirnya berjaya ditemui
terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan mayat mangsa terus
dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Rohan berkata, ekoran kejadian itu, polis
mendapatkan perintah tahanan reman terhadap nenek mangsa dan kedua ibu bapa
mangsa berusia 26 tahun untuk membantu siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak
2001 (Pindaan 2016) atas kesalahan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang
munasabah atau cuai.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen
1959/63 terhadap bapa mangsa yang juga warganegara Indonesia,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *