JPJ kutip hasil RM4 bilion tahun lalu


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip hasil berjumlah RM4.04 bilion tahun lalu biarpun ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

JPJ adalah salah satu agensi penguatkuasaan yang menjana pendapatan tinggi untuk negara.

Bagaimanapun, kutipan hasil pada 2021 mengalami defisit berjumlah RM152 juta berbanding tahun sebelumnya berikutan beberapa moratorium diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk pemegang lesen dan pemilik kenderaan sepanjang beberapa fasa perintah sekatan pergerakan (PKP) dalam tempoh 21 bulan.

Sejumlah RM2.79 bilion atau 70% daripada keseluruhan hasil diperoleh daripada pembaharuan cukai jalan, diikuti dengan RM521.2 juta (13%) untuk pembaharuan lesen memandu.

Mengulas mengenai kutipan RM71.2 juta (1.78%) yang terkumpul daripada kompaun saman yang diselesaikan pesalah trafik tahun lalu, Ketua Pengarah JPJ Zailani Hashim berkata: “Ia bukanlah sesuatu yang kita banggakan dan apabila jumlah saman yang dikeluarkan tinggi, ia juga berkaitan dengan kematian jalan raya yang tinggi.”

Beliau berkata, kejayaan sebenar untuk JPJ ialah apabila pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan trafik dan kenderaan selain pengurangan kes kematian serta kemalangan di seluruh negara.

“Kita akan terus melaksanakan lima strategi penguatkuasaan yang terdiri advokasi, kefahaman, rangsangan, pemberitahuan dan perundangan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak dipengaruhi berita palsu dan “tawaran” di platform media sosial seperti “lesen terbang” dan penjualan kenderaan klon.

Zailani berkata, dalam tempoh empat tahun akan datang, jabatan itu akan meningkatkan segmen pendigitalan untuk orang ramai yang menjadi sebahagian daripada era Revolusi Industri 4.0.

“Kita komited untuk memastikan orang ramai dapat melakukan transaksi dengan lebih lancar menerusi JPJ e-bid dan JPJ e-ID,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *