JANGAN TERPEDAYA MAINAN POLITIK PEMBANGKANG


KOTA BELUD: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Dewan Undangan Nageri (DUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, mengingatkan pengundi di negeri ini khususnya di kawasan Kadamaian supaya tidak terpedaya dengan mainan politik pihak pembangkang.

Beliau yang juga Naib Presiden UPKO berkata, pihak pembangkang sering mengaitkan Warisan dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan Warisan mesra PATI serta banyak lagi tuduhan-tuduhan tidak berasas.

“Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa, sepanjang dua tahun lebih saya menghadiri mesyuarat kabinet negeri Sabah setiap Rabu, tidak pernah sekalipun membincangkan mengenai pemberian IC atau memberikan keistimewaan kepada PATI.

“Apa yang kami bincangkan di Kabinet ialah bagaimana mengurus masalah-masalah rakyat, membangunkan negeri Sabah, mempercepatkan peruntukan untuk pembangunan di kawasan luar bandar termasuk Kadamaian, mengeluarkan tanah tradisi dari hutan simpan, menarik pelabur melabur di negeri ini dan banyak lagi perkara berkaitan pembangunan dan keperluan rakyat.

“Sekiranya ada perbincangan di Kabinet mengenai pemberian keistimewaan untuk PATI di negeri ini, saya adalah orang pertama yang akan melawan secara habis-habisan … tetapi tidak ada perbincangan mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Rakyat Kadamaian di Kampung Tambulion, Kg.Tambulion Ulu dan Kg.Piasau, di sini, hari ini.

Ewon yang juga penyandang kerusi DUN Kadamaian dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, isu PATI yang sering dimainkan pihak pembangkang untuk menghasut fikiran rakyat supaya tidak menyokong calon-calon Warisan Plus (Warisan,UPKO, PKR dan DAP) adalah isu lama yang telah wujud sejak sekian lamanya.

“Sekiranya ada masalah PATI di kawasan Kadamaian, saya tidak akan membiarkan ia berlaku tetapi tiada PATI di kawasan kita, maka tumpuan saya ialah menyelesaikan masalah yang ada di depan mata seperti pembangunan yang amat diperlukan rakyat Kadamaian.

“Sebab itu saya menggunakan peruntukan touchpoints saya untuk menjayakan kajian pelan pembangunan Kadamaian iaitu pembangunan yang diperlukan penduduk di 74 buah kampung di Kadamaian dan semuanya itu terkandung dalam buku Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035,” katanya.

Beliau berkata, pelan itu kini menjadi sebahagian daripada dokumen rasmi Kerajaan Negeri Sabah dan menjadi input utama Kadamaian untuk rancangan-rancangan pembangunan negeri dan negara.

Sehubungan itu Ewon berharap pengundi Kadamaian dapat membuat pilihan bijak pada 26 September ini dan memberikan sokongan padu kepada calon yang mewakili parti kerajaan iaitu UPKO bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang.

Turut hadir memberikan sokongan, Calon Warisan Plus DUN Luyang Phoong Jin Zhe.

Di Kampung Tambulion, Jin Zhe menyempurnakan perasmian Bangunan Gimnasium Tambulion iaitu antara kemudahan yang disediakan kerajaan Warisan Plus.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *