Jangan risau, penyertaan 2,000 penyokong parti tidak benar, kata Pemuda Upko Tenom


Ketua Pemuda Upko Tenom, Gideon Gadit berkata, parti itu tetap utuh walaupun ketua bahagian mereka yang juga Naib Presiden Upko, Lucas Umbul mengumumkan menyertai STAR, hari ini.

Katanya, dakwaan lebih 2,000 penyokong parti itu turut bersama Lucas menyertai STAR juga tidak benar.

“Hanya beberapa individu termasuk AJK (ahli jawatankuasa) bahagian yang menyertai beliau (Lucas) manakala semua AJK pemuda juga masih bersama Upko.

“Kami masih kurang jelas mengapa beliau bertindak sedemikian tapi apapun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Lucas dan beberapa ahli mengumumkan keluar Upko dan menyertai STAR.

Penyertaan Lucas ke dalam STAR disiarkan secara langsung menerusi Facebook dengan presiden parti, Jeffrey Kitingan turut kelihatan dalam majlis berkenaan.

“Ia (menyertai STAR) tiada paksaan, ia adalah kerelaan kami untuk menyertai STAR yang dipimpin Jeffrey.

“Kami mahu membantu STAR berkembang di Tenom, bukan saja di kalangan Orang Asal tetapi juga masyarakat keseluruhannya tanpa mengira latar belakang agama dan sebagainya,” kata Lucas dalam ucapannya sempena majlis itu.

Lucas sebelum ini pernah menjadi calon parti itu di kerusi Kemabong pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, namun tewas kepada calon bebas, Rubin Balang dalam pertandingan enam penjuru.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *