JANGAN JADIKAN ALASAN PRK BATU SAPI UNTUK ISYTIHAR DARURAT


KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada alasan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Katanya, PRK Batu Sapi sebenarnya boleh dielak dengan memberi kemenangan tanpa pertandingan kepada parti yang menyandang kerusi berkenaan iaitu Warisan.

”Sudah pasti Upko akan memberi sokongan kepada Warisan dalam PRK itu dan kita juga perlu mengambil maklum semua parti utama telah menyatakan pendirian mereka untuk tidak bertanding kecuali SAPP serta PPBM yang masih belum menyatakan pendirian mereka.

”Bagaimanapun, sekiranya pilihan raya itu terpaksa berlangsung, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat untuk kempen dan hari pengundian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Madius berkata UPKO juga menyokong cadangan Bersih 2.0 agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencapai satu persetujuan keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan pihak pembangkang di parlimen.

”Sekiranya benar beliau telah hilang kawalan terhadap pemerintahannya atau takut akan tidak mempunyai majoriti yang cukup pada pembentangan belanjawan negara nanti, beliau (Muhyiddin) perlu melaksanakannya (CSA).

”UPKO dengan sukacita akan bersama PH (Pakatan Harapan), Warisan dan beberapa parti pembangkang lain pastinya menyokong langkah ini iaitu sekiranya Muhyiddin bersetuju untuk melaksanakan beberapa reformasi termasuk reformasi berparlimen dan peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen selain menerima input daripada pembangkang untuk belanjawan nanti.

”Bagaimanapun, sekiranya Muhyiddin masih mahu mengambil risiko, beliau perlu meletak jawatan sekiranya belanjawan nanti gagal serta tidak meminta supaya pilihan raya diadakan.

”Situasai ini berbeza dengan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membubarkan DUN pada Julai lalu kerana beliau tidak diberi pilihan untuk CSA,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *