Inisiatif peka 2.1 kini dibuka, bantu pengusaha pelancongan P. Pinang


GEORGE TOWN: Pengusaha industri pelancongan dan kreatif di Pulau Pinang kini boleh memohon bantuan pembiayaan melalui inisiatif Skim Pinjaman Kelangsungan Perniagaan atau Skim Peka 2.1 dan Skim Pinjaman Tanpa Faedah Dana Permulaan Industri Ekonomi Kreatif untuk membantu mereka mengekalkan perniagaan semasa pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (Petace) Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata adalah penting untuk mengkaji dan menetapkan pelan tindakan bersama untuk memberikan bantuan tepat pada masanya kepada kumpulan yang paling terjejas akibat pandemik itu.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang juga membantu masyarakat di peringkat negeri dengan beberapa inisiatif dan pembiayaan untuk pelancongan dan penggiat ekonomi kreatif seperti Skim Peka 2.1 dan Skim Pinjaman Industri Ekonomi Kreatif, kedua-duanya dibuka untuk permohonan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya negeri yang memperuntukkan RM10 juta untuk membantu perusahaan kecil, golongan bekerja sendiri dan usahawan dengan menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada perniagaan yang terjejas dalam industri pelancongan.

“Petace juga telah mengambil langkah proaktif untuk meringankan beban kewangan penggiat industri dengan menggesa pihak berwajib seperti institusi kewangan menyediakan moratorium bagi para peminjam.

“Kerajaan Pulau Pinang juga kekal komited dalam membantu rakyat Pulau Pinang untuk mengurangkan kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0,“ katanya.

Yeoh berkata inisiatif kerajaan negeri dapat melengkapkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Beliau berkata pembiayaan pemulihan negara yang lebih holistik bagi sektor pelancongan diperlukan untuk memastikan kelangsungan perniagaan, pengekalan pekerjaan dan memulakan semula operasi pelancongan.

Skim Peka 2.0 ditawarkan oleh agensi pembangunan negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kepada penggiat industri pelancongan Pulau Pinang yang layak.

Tarikh tutup permohonan bagi kedua-dua skim pinjaman adalah pada 26 Feb dan maklumat lanjut boleh didapati di https://www.pdc.gov.my/. -Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *