INGKAR PKPB, EMPAT INDIVIDU TERMASUK SEORANG WANITA DITAHAN


KOTA KINABALU: Empat individu yang didapati
melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditahan di sebuah pusat
hiburan, di Lintas Square, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner
Habibi Majinji berkata, pihaknya mendapati premis berkenaan sedang beroperasi
dan beberapa pelanggan sedang berhibur dan minum minuman beralkohol.

Katanya, pasukan polis kemudiannya menahan
tiga lelaki dan seorang wanita kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan
serta minum di dalam premis yang mana didapati ingkar Prosedur Operasi Standard
(SOP) PKPB.

“Mereka yang ditahan melakukan kesalahan mengikut
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8),
Peraturan 10 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11.

“Manakala pelanggan yang berada di lokasi turut dikenakan
kompaun. Kerajaan masih melaksanakan PKPB dan masyarakat hendaklah mematuhi
sebarang SOP yang dikuatkuasakan,” katanya.

Habibi berkata demikian dalam satu kenyataan
media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam operasi jam 9.30 malam itu, operasi
dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Kota Kinabalu yang menjalankan pemantauan OP COVID-19.

Habibi berkata, tahap pematuhan masyarakat
terhadap SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah
penentu kejayaan PKPB.

“Mana- mana individu yang melakukan kesalahan
mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),
boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau
kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh dipenjarakan tidak
melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu dilakukan,” katanya. –http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *