Ibu tunggal rugi RM78,214 terpedaya janji kenalan Facebook


MELAKA: Seorang ibu tunggal mengalami kerugian RM78,214, selepas terpedaya dengan janji seorang lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Supt E Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 49 tahun berasal dari Alor Gajah itu, telah berkenalan dengan seorang lelaki pada 28 Mei lepas.

Katanya, sebagai tanda perkenalan suspek telah menyatakan hasratnya mahu menghantar bungkusan barang kemas, dan pada hari yang sama wanita itu telah menerima panggilan telefon dari individu yang mendakwa dari sebuah syarikat.

“Suspek telah menyatakan bungkusan dari kenalannya itu telah sampai, dan mangsa diminta untuk membuat bayaran bagi menuntut bungkusan tersebut.

“Mangsa tanpa berasa curiga telah membuat bayaran secara berperingkat pada 28 Mei hingga 8 Jun berjumlah RM78,214 ke dalam tiga akaun bank berbeza, atas pelbagai alasan seperti bayaran cukai kastam,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Bagaimanapun suspek masih meminta wang daripada mangsa, walaupun selepas pembayaran dibuat dan wanita itu tidak lagi mengikut arahan, kerana menyedari dirinya ditipu untuk mendapatkan bungkusan tidak wujud.

Katanya mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. –Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *