Haniza sifatkan tindakan PKR lucut keahliannya “seperti balas dendam”


SHAH ALAM: Haniza Mohamad Talha (gambar), yang dilucut keahliannya daripada PKR pada mesyuarat parti itu semalam, menyifatkan tindakan itu “seperti balas dendam”.

Haniza yang sebelum ini merupakan Ketua Wanita PKR berkata PKR kini dilihat membalas dendam dengan memecat dan “memburu” ahli parti yang rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“PKR semakin tersasar daripada perjuangan yang menegakkan keadilan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Selangor itu kepada Bernama hari ini ketika dihubungi melalui WhatsApp bagi mengulas perkara itu.

Haniza juga berkata beliau masih belum menerima apa-apa surat atau notis rasmi daripada parti berhubung perkara itu.

Bernama hari ini melaporkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya semalam, bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza.

Haniza digantung keahliannya daripada PKR pada 6 April lepas kerana bertemu Mohamed Azmin dan bekas Naib Presiden parti tersebut, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lepas.

Mengulas mengenai kedudukannya sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza berkata khidmatnya dalam pentadbiran kerajaan negeri tersebut hanya akan tamat selepas beliau mendapat surat arahan daripada menteri besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya beliau akan menjadi ADUN Bebas dan akan terus memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasan yang diwakilinya.

Dengan pemecatan Haniza, PKR di Selangor kini mempunyai 17 kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Ia selepas Mohamed Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Muhammad Hilman Idham (ADUN Gombak Setia) dan Dr Daroyah Alwi (ADUN Sementa) mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan Pakatan Harapan memiliki 41 kerusi iaitu PKR (17), DAP (16) dan Amanah (lapan) manakala Barisan Nasional (lima), PAS (satu), Bersatu (lima) dan Bebas (empat). – Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *