Gangguan bekalan air di sembilan kawasan Kuala Langat dan Sepang, susulan paip pecah


KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan kawasan di wilayah Kuala Langat dan Sepang, Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, susulan kejadian paip pecah berhampiran Bandar Sri Ehsan berdekatan Masjid KLIA semalam.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bekalan air telah ditutup pukul 1 pagi tadi, bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip pecah tersebut yang dijangka siap pukul 5 petang ini.

Kawasan yang terlibat bagi wilayah Kuala Langat adalah Taman Langat Utama, Taman D’Menara, Taman Murnimas, RTB Bukit Changgang, Bandar Sri Ehsan, Taman Langat Murni, Bandar Mahkota dan Bandar Brooklands, manakala bagi wilayah Sepang melibatkan Estet SOPEC.

“Para pengguna dijangka menerima bekalan air pukul 8 malam ini secara berperingkat, berdasarkan jarak premis dan tekanan air apabila ia disalurkan semula,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, bantuan air melalui lori tangki ke kawasan terlibat telah digerakkan bagi membantu pengguna dan mereka yang ingin mendapatkan bantuan bekalan, boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan Air Selangor di 15300.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan kerja pembaikan dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi di Facebook, Twitter dan Instagram, laman sesawang di www.airselangor.com dan juga aplikasi ‘Air Selangor’. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *