Formula pemberian khas Sabah, Sarawak dimuktamad bulan depan, kata Fadillah –


PETALING JAYA: Formula jumlah kenaikan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berasaskan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Anwar Ibrahim di Kuching itu, turut melibatkan Premier Sarawak, Abang Johari Openg serta Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

“Mesyuarat pertama dijadualkan pada Februari 2023 yang juga akan menjadi lawatan rasmi pertama perdana menteri ke-10 ke Sarawak,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.

Beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikannya akan meneruskan perbincangan dengan semua agensi dan memuktamadkan perkara yang belum diputuskan untuk dibawa ke MTPMA63.

Terdahulu, Anwar hari ini mengumumkan beberapa perkara melibatkan MA63, termasuk mempertimbangkan jumlah pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak dikaji setiap lima tahun supaya lebih munasabah.

Katanya, Kementerian Kewangan juga bersetuju pelaksanaan projek di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak akan diputuskan oleh kerajaan negeri, dengan mematuhi peraturan kewangan.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, kerajaan komited meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah bagi menambah baik jaringan infrastruktur jalan persekutuan di Malaysia Timur secara berperingkat.

Katanya, projek Pan Borneo Sarawak kini siap 91%, manakala Pan Borneo Sabah siap 73%.

Beliau berkata, Putrajaya komited meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road yang terdiri daripada Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng) kini siap 10%, dan Fasa 2 serta Lebuhraya Trans Borneo melibatkan Miri-Limbang-Lawas.

“Trans Borneo akan dimulakan sebaik saja Kementerian Kerja Raya selesai melantik kontraktor yang dijangka dimuktamadkan pada 2024.”

Katanya, pengumuman Anwar hari ini membuktikan komitmen dan kesungguhan Putrajaya menyelesaikan semua isu tertunggak MA63 serta memartabatkan perjanjian itu, selain memantapkan infrastruktur di Malaysia Timur.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *