EWON MAMPU LAKAR KEMENANGAN DI KADAMAIAN


KOTA BELUD:  Selepas lebih seminggu berkempen, calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dilihat berada di landasan terbaik untuk melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini, sekali gus mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2018.

Rata-rata pengundi DUN Kadamaian inginkan kerajaan negeri yang tidak dikongkong oleh Malaya.

Bagi mereka, Warisan Plus pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut dianggotai UPKO merupakan pilihan terbaik buat rakyat Sabah termasuk pengundi Kadamaian.

Mantan Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Kota Belud Isnahraissa Munirah Majilis, Charlie Lim Foo Yung berharap semua rakyat Kadamaian memberikan sokongan padu kepada Ewon, bukan sahaja untuk memastikan kemenangan tetapi mendapat majoriti yang lebih besar.

Charlie

“Kita pastikan Datuk Ewon menang sebab semua orang nampak apa yang beliau lakukan di Kadamaian selama dua tahun lebih sebagai wakil rakyat. Maka, adalah wajar rakyat Kadamaian memberikan sokongan penuh pada PRN Sabah kali ini.

“Dari segi pembangunan kita boleh nampak dengan jelas apa yang beliau usahakan dalam tempoh singkat dan adalah tidak adil membandingkan pencapaian ini kepada mantan-mantan wakil rakyat yang berkhidmat lebih satu atau tiga panggal.

“Secara peribadi, saya boleh katakan, perkhidmatan Datuk Ewon sebagai wakil rakyat adalah yang terbaik walaupun dalam masa yang singkat. Misalnya banyak dewan terbuka dan dewan penuh berjaya disiapkan berbanding mantan wakil rakyat sebelum ini,” katanya.

Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Carlye Lajimin menyeru seluruh rakyat Kadamaian bersatu hati memberikan mandat sekali lagi kepada Ewon untuk meneruskan perkhidmatan cemerlang dan kesinambungan momentum pembangunan yang lancar di Kadamaian.

Carlye

“Kadamaian sudah melalui perjalanan yang jauh, daripada N9 kepada N7 dan kini N11. Kita bersyukur kerana selama ini Kadamaian sentiasa diberkati dan diberikan pemimpin-pemimpin berwibawa.

“Kita menghargai semua sumbangan dan khidmat mereka dan atas sumbangan mereka, Kadamaian kini lebih baik jika dibandingkan pada masa ketika ia memulakan perjalanannya,” katanya.

Carlye berkata, penyelesaian pelbagai isu dan masalah rakyat Kadamaian memerlukan tindakan gerak kerja yang sebenar di lapangan seperti yang dilaksanakan Calon No.1  N11 Kadamaian Datuk Ewon.

“Walaupun masa perkhidmatan Datuk Ewon sebagai ADUN Kadamaian amat singkat, namun dalam masa itu, kita sudah melihat momentum kerja-kerja pembangunan di Kadamaian berjalan lancar.

“Kita sebenarnya bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin seperti Datuk Ewon. Dengan latar pendidikan yang tinggi, etika kerja profesional sudah terbukti, kebolehan dan keupayaan komunikasi semulajadi yang disenangi dan boleh menerobos semua peringkat,” katanya.

Menurutnya lagi, Ewon juga mempunyai visi dan misi yang jelas dan paling penting, beliau berani membuat keputusan demi kepentingan rakyat Kadamaian terutamanya berkaitan masalah tanah yang dihadapi penduduk kampung.

“Inilah pemimpin yang kita cari selama ini, beliau mempunyai pakej kepimpinan yang lengkap dan diyakini dapat membawa lebih banyak pembangunan di Kadamaian,” katanya.

Carlye berkata, UPKO, PBS dan PBRS pada mulanya adalah satu namun PBS bukan lagi seperti dahulu dan telah lari dari perjuangan asal. “PBS kini sangup bersama dengan PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional”.
 
Sementara itu, Pengerusi MPKK Kg.Terintidon, Idas Lumayan menyatakan sokongan padu kepada Ewon dan berharap beliau terus kekal menjadi Wakil Rakyat Kadamaian.
 
“Beliau (Ewon) satu-satunya wakil rakyat Kadamaian yang telah memperkenalkan sumbangan untuk kelahiran dan takziah. Sumbangan itu diberikan kepada semua tanpa mengira fahaman politik.
 
“Sebelum ini, tiada sumbangan seperti ini. Datuk Ewon adalah satu-satunya wakil rakyat yang berpandangan jauh dan dapat memikirkan apa keperluan rakyat yang sebelum ini tidak pernah difikirkan oleh wakil rakyat lain

“Jadi adalah tidak adil perkhidmatannya selama dua tahun ini dibandingkan dengan wakil rakyat yang sudah berkhidmatn lebih lima atau 10 tahun di kawasan ini,” katanya.

Idan

Idas berkata, walaupun ada yang membandingkan perkhdimatannya, “kita amat berpuas hati kerana dalam tempoh dua tahun sahaja pembangunan sangat rancak di kawasan Kadamaian, apa lagi kalau sampai lima tahun atau 10 tahun”.
 
Katanya, Ewon juga merupakan seorang wakil rakyat yang paling rajin turun padang dan mesra rakyat.

Ahli Kelab Belia Kg.Podos Fredy Golok berkata, dari segi pembangunan sukan untuk belia di kawasan Kadamaian, pelbagai kemudahan telah disediakan termasuk pembinaan gimnasium, padang, gelanggang sepak takraw dan sumbangan peralatan sukan.
 
“Belia di kampung ini sentiasa menyokong Datuk Ewon. Antara sumbangan untuk belia di kampung ini ialah padang yang amat kami perlukan kerana belia di kampung ini aktif sukan.
 
“Mungkin masih ada kampung yang belum menerima apa yang mereka perlukan tetapi kita memahaminya kerana dalam tempoh dua tahun ini tidak mungkin semua keperluan di 74 buah kampung di Kadamaian dapat dipenuhi.
 
“Oleh itu kami berharap, beliau terus kekal menjadi wakil rakyat Kadamaian untuk kesinambungan pembangunan di Kadamaian,” katanya.
 
Antara projek pembangunan berkaitan sukan yang dilaksanakan di Kadamaian ialah, pembinaan padang,  penaiktarafan astaka padang dan pembinaan Bangunan Gimnasium di Kg Kiau (2018), Kg Tambulion (2019) dan Melangkap Tiong (2020).
 
Seorang lagi pengundi Kadamaian Sanial Angkat berkata, dalam dua tahun ini, Ewon telah melakukan banyak perkara termasuk membantu, memenuhi, melulus dan melaksanakan keperluan-keperluan rakyat Kadamaian.
 
Beliau berkata, semua perancangan untuk membangunkan Kadamaian telah dimasukkan dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang mana sebahagiannya telah dilaksanakan termasuk pembangunan Tamu Taginambur.
 
“Buku ‘Pelan Induk Pembangunan Kadamaian’ bukan sembarangan buku, tetapi ia merupakan satu dasar untuk membangunkan Kadamaian.
 
“Selepas membaca buku ini secara keseluruhannya, saya mendapati ia mengandungi aspirasi seorang pemimpin dan memenuhi keperluan-keperluan warga Kadamaian termasuk pembangunan infrastruktur, pelancongan, pertanian, ekonomi, sukan, kebudayaan, hal berkaitan tanah, alam sekitar dan keperluan keagamaan.
 
“Dalam buku tersebut mengandungi satu analisa pada hemat saya, belum pernah dibuat oleh pemimpin terdahulu, analisa itu mengandungi faktor kelemahan, kekuatan, cabaran dan peluang yang ada di Kadamaian,” katanya.
 
Sanial berkata, melalui pelan pembangunan itu rakyat Kadamaian akan dapat melihat kemajuan yang lebih pesat di kawasan mereka.

 “Jika pengundi Kadamaian silap memilih maka, boleh jadi pemimpin lain itu akan melupakan atau mengganti perancangan yang berbeza… dan ini akan merugikan rakyat sendiri,” katanya.-http://beritasabah.com
 





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *