Dewan Rakyat hari ini bersidang hingga 3 petang


KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dilanjutkan satu jam sehingga 3 petang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

“Tanpa mengambil kira usul Peraturan Mesyuarat 12(1) terdahulu iaitu pada Khamis, 5 Nov 2020, dan mengikut peraturan 12 (1), saya dengan ini memohon mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini, Rabu 25 Nov 2020, tidak akan ditangguhkan sehingga 3 petang ini,“ katanya, dan disokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Sebelum ini, Takiyuddin mengemukakan usul mencadangkan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, 9 Nov hingga Selasa, 15 Dis berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang dan usul penangguhan itu dibuat menurut Peraturan Mesyuarat 12(1).

Selain sesi soal jawab, persidangan hari ini akan diteruskan dengan penggulungan perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 oleh kementerian-kementerian terlibat.

Antara kementerian yang dijadual menggulung perbahasan ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Kpl Baharuddin Ramli daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi semalam.

Ucapan itu dizahirkan beliau sebelum sesi soal jawab bermula.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, Baharuddin, 54, maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Seorang lagi anggota PGA, Kpl Norihan a/l Tari, 39, turut mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *