Covid: Vaksinasi kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas penting


KUALA LUMPUR: Vaksinasi kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas merupakan antara langkah penting dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di negara ini, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata risiko jangkitan wabak dalam institusi penjagaan berkenaan boleh berlaku dengan sangat pantas dan sukar untuk dibendung sekiranya tindakan lambat diambil.

Ini disebabkan faktor persekitaran tertutup dan kesukaran melaksanakan penjarakan fizikal serta pergerakan pekerja merentas premis penjagaan dan pusat kesihatan yang lain.

“Jika penularan wabak berlaku, bebanan yang dipikul oleh pengendali insitusi warga emas akan lebih teruk akibat kekurangan sumber.

“Petugas kesihatan dan keselamatan yang berjuang dengan wabak ini mungkin tidak mampu untuk bertahan apabila terus-menerus dihujani dengan kes dan kluster penularan baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Nasional Pelan Vaksinaksi untuk Kakitangan dan Penghuni Pusat Jagaan Berkediaman Warga Emas secara maya hari ini.

“Sejak pandemik Covid-19 ini melanda, hampir 70 peratus daripada jumlah kematian yang direkodkan adalah dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan mengalu-alukan kerjasama pihak yang berkepentingan bagi meningkatkan penerimaan vaksin dalam kalangan kakitangan dan penghuni pusat jagaan berkediaman warga emas.

Malaysia akan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 26 Feb ini dengan sasaran 80 peratus penduduk bersamaan 26 juta individu menerima suntikan vaksin secara percuma, menerusi tiga fasa bermula April 2021 hingga Februari 2022. -Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *