COVID-19: Kerajaan Negeri Sumbang 15,000 Pelitup Separuh Muka; 8,000 pensanitasi untuk pelajar UMS


Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sumbangan 15,000 pelitup separuh muka dan 8,000 botol pensanitasi tangan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kerajaan Negeri Sabah pada 23 Februari 2021.

Sumbangan disampaikan wakil JPBN, Marlinus Mark Francis kepada Pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, Mohd. Jamal Atong di Pejabat Kompeks Bangunan Kerajaan, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. 

Kesemua sumbangan itu bertujuan untuk diedarkan kepada pelajar yang kembali meneruskan pengajian di kampus ini mulai 1 hingga 5 Mac 2021.

Penyerahan sumbangan turut disaksikan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Razman Durhan dan Pasukan Sukarelawan Pelajar Covid-19 HEP UMS. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam satu kenyataan hari ini merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Katanya, ia akan dimanfaatkan untuk keperluan kira-kira seramai 6,395 pelajar yang akan kembali semula ke kampus ini.

“Sudah pasti sumbangan yang diterima dapat membantu usaha universiti mengekang penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan siswa-siswi serta seluruh warga UMS. 

“Sebagai makluman, pelitup separuh muka dan pensanitasi tangan kini disimpan di dalam stor HEP sebelum diagihkan kepada tiga kolej kediaman dan kemudiannya diedarkan kepada pelajar pada minggu hadapan.

“Untuk itu, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak kerajaan negeri atas keprihatinan yang berterusan terhadap universiti ini. Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan pandemik Covid-19 segera berakhir,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *