Bukit Aman sahkan terima maklumat pegawai, anggota polis lindungi premis judi


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima maklumat mengenai segelintir pegawai dan anggota polis disyaki melindungi premis judi haram di sekitar Sungai Buloh, dekat sini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu pejabat polis Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata ketika ini pihaknya sedang meneliti maklumat yang diterima termasuklah premis-premis judi yang ada di sekitar Sungai Buloh.

Beliau berkata perkara yang diteliti antaranya termasuklah serbuan dan rampasan perjudian yang telah dijalankan serta beberapa isu berkaitan.

“Jika terbukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dalam penyelewengan tugas dan melindungi sindiket berkenaan maka tindakan tatatertib keras akan dikenakan kepada mereka.

“Sekiranya ada pegawai dan anggota polis menerima rasuah ia akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama semalam.

Bernama semalam melaporkan SPRM akan menyiasat dakwaan terhadap pihak berkuasa yang cuba melindungi premis haram, perjudian haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan itu dan menyatakan polis telah membuka kertas siasatan serta akan memanggil pengguna laman sosial berkenaan untuk memberikan keterangan. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *