Bukan cerminan MA63, Madius persoal mengapa Hari Malaysia hanya di Sabah dan Sarawak


Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO- TUARAN) membangkitkan persoalan tentang penggiliran sambutan Hari Malaysia yang hanya dibuat di Sabah dan Sarawak sejak 2011.

Menurutnya, sambutan bersejarah itu tidak pernah diadakan di luar kedua-dua negeri itu sejak diperkenalkan sekali gus tidak mencerminkan kepada penghayatan pembentukan Malaysia secara keseluruhannya.

“Sudah 11 tahun kita raikan Hari Malaysia tetapi warga Ibu Kota Kuala Lumpur belum lagi menikmati sambutan tersebut.

“Tuaran ingin bertanya apakah Kerajaan pimpinan Yang Berhormat Bera akan memulakan sambutan Hari Malaysia ini dilaksanakan di Semenanjung Malaysia selepas ini?

“Dalam bentuk apakah Hari Malaysia serta sejarah pembentukan Malaysia ini boleh dihayati oleh seluruh rakyat supaya akhirnya dia akan menjadi jati diri rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perbahasan Titah Diraja dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, kemarin.

Madius turut memohon penjelasan terhadap sambutan Hari Malaysia yang telah dinafikan selama 50 tahun sebelum ini.

“Menjunjung Kasih Tuanku kerana pada Perkara 58, muka surat 15, Titah Ucapan diRaja, Tuanku menyebut tentang Sambutan Hari Malaysia dan seterusnya memberi seruan kepada ahli-ahli Yang Berhormat dan juga seluruh rakyat Malaysia supaya menghayati sejarah kemerdekaan negara dan Pembentukan Malaysia.

“Harus diingatkan bahwa pengisytiharan hari kelahiran Malaysia itu telah terlewat selama 48 tahun selepas Perjanjian Pembentukan Malaysia ditandatangani oleh the United Kingdom, the Federation of Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 Sept 1963.

“Pengisytiharan tersebut hanya dilakukan pada 19 Okt 2009, oleh Yang Berhormat Pekan selaku Perdana Menteri, di Dewan yang Mulia ini semasa menjawab satu soalan tentang hari Malaysia.

“Kemudian selepas itu, Hari Malaysia diamalkan sebagai cuti umum bermula 16 Sept 2010 dan hanya pertama kali dirayakan sebagai satu sambutan rasmi kerajaan pada 16 Sept 2011 iaitu 50 tahun selepas pembentukan Malaysia,” ujarnya.

Madius berkata, sudah tentu rakyat Malaysia terutama sekali generasi muda tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah terjadi?

“Kenapa hari kelahiran negara tercinta ini telah dinafikan dengan Sambutan Hari Ulang Tahun selama 50 Tahun?

“Dan yang lebih penting lagi ialah kenapakah fakta-fakta sejarah tentang pembentukan Malaysia ini tidak dimuatkan sepenuhnya secara terperinci dalam buku-buku teks mata pelajaran Sejarah dalam sistem persekolahan Malaysia,” tegasnya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *