BERI PENGAJARAN WAKIL RAKYAT CUBA BENTUK KERAJAAN PINTU BELAKANG


TONGOD: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini adalah peluang terbaik kepada rakyat untuk memberi pengajaran bahawa rakyat Sabah mempunyai maruah.

Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Benson Inggam, berkata tindakan bekas wakil rakyat di kawasan itu yang keluar parti dan cuba membentuk kerajaan pintu belakang tanpa melalui mandat sekali gus membelakangkan rakyat.

Katanya, wakil rakyat berkenaan lupa bahawa mereka menjadi pemimpin kerana pilihan rakyat.

“Rakyat Sabah ada maruah dan kita yang angkat mereka tetapi kadang-kadang ada pemimpin lupa.

“Justeru, kita perlu beri peringatan kepada mereka pada (hari mengundi) 26 September ini,” katanya ketika berucap dalam kempen di Kampung Minusoh di sini, semalam.

Benson yang juga Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kuamut turut meminta pengundi di kawasan berkenaan agar tidak menyokong calon Bebas yang tidak mampu membantu rakyat.

Katanya, antara 20 perjuangan parti UPKO adalah untuk menggesa kerajaan menggubal undang-undang anti lompat parti dan apabila undang-undang itu dikuatkuasakan, calon Bebas tidak akan dapat menyertai mana-mana parti lagi.

“Apa yang berlaku sekarang (PRN) sebab undang-undang anti lompat tidak berkuatkuasa. Jika undang-undang ini dikuatkuasakan, mereka (calon Bebas) tidak lagi boleh lompat.

“Kalau tidak menyertai kerajaan, macam mana mahu tolong rakyat? Tiada kerajaan BEBAS di dunia ini” katanya. Untuk menyalurkan bantuan Kerajaan kepada rakyat, perlu melalui jabatan-jabatan yang berkaitan.

Pada PRN ini, Benson berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Juhari Janan; calon Bebas, Datuk Masiung Banah; Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Dr Ationg Tituh dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd Mezsi Ng Abdullah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Masiung mempertahankan kerusi itu atas tiket Barisan Nasional(BN) sebelum bertindak keluar daripada UPKO dan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Namun pada Julai lalu, Masiung antara 32 ADUN yang menyertai bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman untuk membentuk kerajaan baru.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *