Bendera peribadi Agong dikibar separuh tiang 5 hari


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya bendera peribadi Baginda dikibarkan secara separuh tiang di Istana Negara selama lima hari berturut-turut bermula hari ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamduddin, ia sebagai tanda berkabung Seri Paduka atas kemangkatan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan juga Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, semalam.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah juga menitahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia agar mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan selama tiga hari bermula hari ini untuk dihadiahkan kepada Almarhum Sheikh Khalifa.

“Seri Paduka turut mengajak rakyat bersama-sama mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah telah menghubungi Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan semalam untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi kepada Putera Mahkota itu dan seluruh keluarga.

Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada tahun 1978 serta 1979, dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang.

Di samping itu, Malaysia dan UAE mempunyai hubungan dua hala yang rapat dan mesra di pelbagai peringkat, termasuk kedua-dua pemimpin negara dan sesama rakyat.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berkenan berangkat ke Abu Dhabi esok (15 Mei) untuk bersama dengan ketua-ketua negara dan kerajaan lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Istiadat penghormatan terakhir Almarhum Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei 2022. — Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *