Asrama perempuan MITS Kuala Langat terbakar, tiada kemalangan jiwa


SHAH ALAM: Seramai 131 pelajar perempuan terselamat dalam kejadian kebakaran di tingkat tiga bangunan asrama Mahaad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat, Banting dekat sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hafisham Mohd Noor berkata 27 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, Telok Panglima Garang, KLIA, Pelabuhan Klang serta Seksyen 7 bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.49 pagi.

Beliau berkata kebakaran itu menyebabkan 40 peratus atau kawasan seluas 30×100 kaki persegi asrama pelajar perempuan itu musnah dalam kejadian berkenaan.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 6.24 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan. Kesemua 131 pelajar perempuan yang menghuni asrama tersebut berjaya dikumpukan di lokasi selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hafisham berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi satu minit menunjukkan kejadian kebakaran asrama pelajar perempuan berkenaan. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *