APM CADANG BUKA PEJABAT DI SEBATIK, KALABAKAN


TAWAU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bercadang mewujudkan Pejabat Unit APM di Pulau Sebatik serta Kalabakan bagi memudahkan operasi menyelamat di kawasan terbabit.

Pegawai APM Tawau Kapten Hussain Mohd Noor berkata pihaknya kini dalam proses mengenal pasti tapak di dua kawasan berkenaan dan Pejabat Daerah Kalabakan serta Pejabat Dewan Undangan Negeri Sebatik telah dimaklumkan perkara itu.

“Kami mendapati kawasan Kalabakan dan Pulau Sebatik sangat memerlukan pejabat tersebut memandangkan kerap berlakunya kejadian yang memerlukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Di Kalabakan, sudah ada ruang tapak disediakan di kawasan pekan manakala di Pulau Sebatik pula masih dalam proses permohonan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Hussain, pewujudan Pejabat Unit APM itu selari dengan keperluan Kalabakan yang berstatus daerah penuh dan memiliki kepadatan penduduk yang tinggi.

“Penugasan APM juga merangkumi semua tugasan MERS 999 bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi SAR terutamanya di Sungai Kalabakan yang sering berlakunya serangan buaya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pewujudan Pejabat Unit APM juga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan belia di Kalabakan. – Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *