ANWAR KATA KERAJAAN MUHYIDDIN ‘SUDAH JATUH’


KOTA KINABALU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘sudah jatuh’ selepas mendakwa mendapat sokongan lebih daripada 120 ahli parlimen.

Anwar dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata beliau telah mempersembahkan dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 ahli parlimen buatnya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam pertemuan di Istana Negara, pagi tadi.

“Ia mencecah lebih dari 120 (ahli parlimen).

“Tapi oleh kerana Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan memanggil ketua-ketua parti, maka munasabah untuk kita bersabar, memberi ruang dan wewenang untuk YDPA memutuskan.

“Tak wajar tetapkan masa untuk YDPA memutuskan,” katanya.

Menjelaskan lanjut, kerajaan baru yang bakal diterajuinya “masih tetap majoriti Muslim dan bumiputera.”

“Tapi saya ingin tegaskan bahawa jaminan tentang hak semua warganegara tetap terpelihara,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepadanya kepada YDPA.

”Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

”Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

”Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.-http://beritsabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *