ABIM sambut positif usaha martabat Bahasa Melayu dan tidak teruskan PPSMI


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut positif usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) bagi memperkasa penggunaan Bahasa Melayu di negara ini.

Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ABIM menyokong sebarang usaha bagi menyatukan undang-undang berhubung penggunaan bahasa kebangsaan, bagi memastikan penggunaan bahasa yang betul.

“Seperti sedia maklum, ia adalah medium penting memperkukuhkan peranan institusi, seterusnya mampu memartabat bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada draf pindaan terhadap Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan (ABK) 1963/67 (turut dikenali sebagai Akta 32) yang memberi kuasa kepada DBP dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan penggunaan Bahasa Melayu, yang telah pun diusahakan sejak awal 2019.

Sementara itu dalam satu lagi kenyataan, Muhammad Faisal berkata, ABIM menyokong penuh keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan pada masa sama mahu Program Dwibahasa dimansuhkan.

Katanya, kerajaan perlu kembali semula kepada landasan dasar bahasa kebangsaan dalam pendidikan kebangsaan, yang semakin terpesong melalui pelaksanaan DLP.

“Pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan PPSMI yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan juga merupakan satu penganiayaan terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya.

“Autonomi kepada pihak sekolah, ibu bapa dan guru dalam memilih sama ada DLP/PPSMI (Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) atau Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan sama sekali bertentangan dengan misi mendaulatkan Bahasa Melayu,” katanya.

ABIM menggesa Kementerian Pendidikan kembali fokus terhadap usaha mengukuhkan Bahasa Inggeris menerusi pemantapan dan pengemaskinian pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah.

Terdahulu, dalam satu jawapan bertulis di Parlimen pada 15 Julai lepas, Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM tidak berhasrat memperkenalkan semula PPSMI setakat ini. –Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *