95 petugas media di Kelantan terima suntikan vaksin


KOTA BHARU: Seramai 95 petugas media daripada pelbagai agensi di Kelantan sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata daripada jumlah itu, seramai 31 yang berdaftar menerusi Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menerima suntikan tersebut di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

“Selain itu, ada juga yang sudah menerima suntikan vaksin sebelum ini, termasuk 10 orang sudah terima semalam (9 Jun),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Presiden Kemudi Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kerajaan Negeri Kelantan dan JKKN atas program vaksinasi itu.

“Penantian warga media di Kelantan berakhir apabila kami semua menerima suntikan dos pertama yang dianggap penting dalam usaha mengekang wabak Covid-19 yang sedang melanda negara,” katanya.

Shahnun Hanif turut berharap agar semua petugas media terus mematuhi prosedur operasi standard norma baharu yang ditetapkan, antaranya memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Seorang wartawan Harakah, Nur Ain Manaf, 26, berkata beliau sangat teruja apabila dimaklumkan akan menerima vaksin hari ini.

“Alhamdulillah semuanya selesai tadi, prosesnya lancar dan suntikan pun tak rasa sakit. Sebelum dapat vaksin memang ada rasa bimbang ketika keluar bertugas, kini merasa lega… insya-Allah semoga suntikan vaksin yang diterima hari ini dapat melindungi diri kami,“ katanya. –Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *