90 peratus permohonan inisiatif pendigitalan PKS diluluskan


KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,634 permohonan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah diterima bagi Inisiatif Pendigitalan PKS setakat Isnin lepas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (pix).

Saifuddin berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM14.6 juta geran padanan telah diluluskan kepada 5,087 PKS yang layak iaitu 90 peratus daripada jumlah bilangan permohonan yang diterima.

“Kerajaan melalui Kementerian Kewangan melantik Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai peneraju utama dalam menyalurkan geran itu termasuk permohonan, pemprosesan dan pembayaran geran, manakala SME Bank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah rakan strategik kepada BSN.

“Peranan MDEC dalam proses ini adalah hanya pada peringkat awal dalam memberikan khidmat nasihat dalam bidang pendigitalan serta menyediakan senarai syarikat Technology Solutions Provider (TSP) untuk dipilih oleh PKS sebelum mereka menghantar permohonan kepada BSN,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta penjelasan kementerian mengenai status pelaksanaan inisiatif itu termasuk jumlah permohonan yang diterima setakat ini dan jumlah yang telah diluluskan serta dibayar kepada penerima.

Menjawab soalan Khoo mengenai proses permohonan melibatkan BSN yang didakwa memberi maklumat berlainan dan mengelirukan, Saifuddin berkata pihak BSN telah menugaskan pegawai mereka untuk memudahkan urusan berkenan permohonan PKS yang dibuat oleh TSP.

Dalam masa sama beliau berkata BSN, SME Bank dan MDEC kini dalam proses mewujudkan platform permohonan setempat secara digital yang dijangka dapat dilancarkan pada suku pertama 2021.

“Dengan adanya kemudahan permohonan secara digital, semua pihak, PKS dan TSP boleh mengetahui status permohonan secara dalam talian.

“Secara tidak langsung, ini akan menangani isu-isu kelewatan pemprosesan permohonan geran padanan ini selain ia dijangka dapat memendekkan jangka masa kelulusan kepadahanya tiga hari, berbanding 14 hari sebelum ini,” katanya. — Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *