33 DITAHAN KERANA INGKAR PKPP


KOTA KINABALU: Seramai 33 individu ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi Op Cantas/Covid di sebuah restoran di Jalan Sinsuran, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9.40 malam itu, sepasukan polis yang bertindak atas maklumat awam mendapati kumpulan individu terbabit berkumpul di premis restoran tanpa mematuhi arahan PKPP.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, susulan daripada itu, semua pekerja dan pelanggan ditahan membabitkan lima wanita dan 28 lelaki.

Katanya, pemeriksaan mendapati pemilik premis, pekerja dan pelanggan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 7) Perkara 3.

“Semua boleh dihukum mengikut peraturan 11 peraturan yang sama di mana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Antara kesalahan adalah tidak menulis butir-butir diri pada buku daftar, tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak menyediakan peralatan pembaca suhu badan dan cecair pembasmi kuman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, semua ditahan selepas didapati melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Katanya, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa balik ke balai untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Habibi berkata, objektif utama pemeriksaan itu dijalankan adalah untuk memastikan perintah kawalan pergerakan pemulihan dipatuhi sepenuhnya terutama kepada pengusaha premis.

“Usaha tanpa henti yang dijalankan polis adalah bagi membenteras penularan virus COVID-19.

“Kerjasama seluruh masyarakat adalah amat penting dalam penambahbaikan pengurusan keselamatan yang juga merupakan faktor utama dalam mengelakkan ledakan covid 19 dalam skala yang lebih besar,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *