10 PDM PBS DI TAMBUNAN ISYTIHAR SOKONG CALON UPKO


TAMBUNAN: Sebanyak 10 daripada 17 Pusat Daerah Mengundi (PDM) PBS, di sini, mengisytiharkan sokongan buat calon UPKO, Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu.

Difahamkan tindakan sebulat suara PDM PBS itu adalah kerana mereka kecewa dengan langkah kepimpinan parti untuk berkompromi dengan STAR.

“Pengkhianat dan memandang rendah. Itu yang dapat saya ungkapkan kepada pemimpin Star yang juga calon N39 Tambunan,” kata Ketua PDM PBS Kampung Kirokot, Linus Gonsilau.

Beliau yang juga AJK bahagian PBS Tambunan berkata mereka merasa amat kecewa dan marah dengan keputusan tersebut kerana disifatkan sebagai tidak adil kepada calon PBS Silverius Bruno dan penyokong yang bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri ke-16, Sabtu ini.

“Saya menyeru kepada semua pengundi dan penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) N39 agar mengundi calon dari parti Upko sebagai pengajaran terhadap pemimpin atasan.

“Tindakan kami ini tidak salah kerana calon PBS di Tambunan sudah tiada. Jadi bermaksud kami undi calon parti Upko,” katanya.

Linus berkata tindakan itu juga berkaitan dengan kekalahan bekas Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kepada calon Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Maka itu faham-fahamlah,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Laurentius berkata Linus dan rakan-rakan berhak membuat keputusan tersebut dan bebas mengundi calon pilihan walaupun ianya mungkin tidak disenangi oleh pucuk pimpinan mereka.

“Saya cuma berterima kasih atas sokongan mereka,” kata Dr Laurentius.

Kelmarin, Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS yang merupakan rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan penarikan diri calon PBS di Tambunan dan juga Bingkor bagi memberi laluan kepada calon-calon Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) yang merupakan ahli PN.

Sebagai balasan, Star bersetuju supaya calon-calon Bebas mesra Star di Bengkoka dan Api-Api menarik diri dan menyokong PBS.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan sebagai berkata langkah tersebut diambil untuk menguatkan peluang GRS di kawasan berlakunya pertembungan antara rakannya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *